PETALING JAYA – Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan Kerajaan Serbia di atas kematian seorang anggota pasukan pengaman Serbia yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa di Lubnan (UNIFIL) semalam.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) berkata, anggota tersebut meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami berikutan insiden berhampiran Marjayoun, selatan Lubnan pada Rabu lalu.
“Insiden tersebut turut mencederakan dua anggota pengaman dari El Salvador dan Sepanyol dan kerajaan berharap agar mereka cepat sembuh,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kementerian itu berkata, Malaysia menyatakan solidariti bersama UNIFIL dan mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan yang menyasarkan pasukan pengaman PBB.
“Keganasan yang berterusan dan serangan terhadap pasukan pengaman serta orang awam ini berpunca secara langsung daripada pencabulan Israel terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan, dan tidak boleh dijustifikasi dalam apa keadaan jua.
“Malaysia menggesa agar keganasan ini dihentikan dan menyeru semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman PBB dan orang awam di Lubnan,” ujar Wisma Putra. -KOSMO! ONLINE














