JIKA disenaraikan barisan pendatang baharu yang berjaya mendapat tempat dalam dunia hiburan tanah air, nama Alya Iman salah seorang daripadanya.
Kehadirannya sebagai pelakon awalnya mengundang pelbagai respons ramai terutama selepas terpalit dengan beberapa cerita kurang enak ketika itu.
Bukan mudah untuknya berdepan dengan kata-kata nista orang ramai, namun dia enggan tunduk dengan tekanan apatah lagi menoktahkan kerjaya seni yang baru bermula.
Membawa pemilik nama Nur Alya Iman Azmil sebagai penghias muka depan HibGlam minggu ini, keperibadiannya semakin matang dan berhati-hati menyusun setiap patah ayat dalam menjawab pertanyaan yang dilayangkan kepadanya.
Pertanyaan awal yang membuka bicara pelakon berusia 25 tahun itu adalah cabaran terbesarnya sejak bergelar pelakon.
Menariknya, jawapan yang diberikan tidak klise dan berbeza daripada sering diucapkan pendatang baharu lain.
Katanya, bergelar anak kepada pelakon berbakat besar, Azmil Mustapha merupakan cabaran terbesarnya sehingga hari ini.
“Kalau orang tanya cabaran sebagai anak seni, bukan watak atau hal lain tetapi apabila ramai meletakkan harapan yang tinggi kerana saya merupakan anak kepada seorang seniman.
“Bukan tidak bersyukur menjadi anak kepada arwah tetapi saya juga seperti pelakon baharu lain, banyak perkara masih tidak mahir.
“Saya juga perlu melalui proses pembelajaran dan latihan berterusan untuk menghasilkan karya yang berkualiti,” katanya.
Meski tanggungjawab yang digalas berat kerana nama bapanya, dia bagaimanapun enggan memberi tekanan kepada dirinya.
Alya juga memilih menolak tepi sebarang jangkaan orang ramai sebaliknya melakukan setiap watak yang digalas sebaik mungkin.
Putus asa
Ditanya sama ada pernah rasa hampir berputus asa, dia yang popular menerusi drama Pabila Dia Tersenyum itu mengangguk kepala.
“Perasaan untuk berputus asa itu ada kerana saya juga manusia biasa, ada perasaan kecewa apabila berdepan dengan kecaman.
“Pada awalnya memang tidak tahu apa yang perlu dilakukan setiap kali perkara negatif menghantui diri.

“Namun, lama-kelamaan sudah terbiasa dan saya biarkan sahaja meski adakalanya hati terasa sakit,” tuturnya.
Sering menjadi sasaran kecaman netizen dalam media sosial sehingga ada yang melabelnya dengan pelbagai gelaran termasuk orang ketiga, dia memilih untuk menjadi bijak dalam mengawal emosi.
“Bagi saya, menerima kecaman adalah sesuatu yang lumrah sebagai seorang figura awam terutama anak seni.
“Paling penting kita kena memiliki kekuatan mental dan kebijaksanaan untuk membezakan antara kritikan yang membina serta kecaman tidak berasas,” jelasnya.
Gadis tinggi lampai itu juga menjadikan setiap kritikan khalayak terhadapnya sebagai pemangkin semangat untuk memberi hasil kerja lebih baik pada masa akan datang.
“Ketika ini, walau apa pun yang terjadi, saya akan menjadikan setiap kritikan sebagai ruang untuk memperbaiki diri. Tidak ada fasa meratap nasib diri.
“Saya mahu terus berkembang menjadi individu yang lebih baik, insya-Allah perlahan-lahan,” katanya lagi.
Menyentuh perihal dirinya dilabel sebagai artis sensasi meski baru setahun jagung berada dalam industri hiburan, dia hanya tertawa kecil.
Tidak melatah atau ‘naik hantu’, bintang filem Pewaris Susuk itu menerimanya dengan berlapang dada.
“Saya menerima gelaran itu dengan hati terbuka. Mungkin juga gelaran tersebut diberikan kerana imej dan cara pemakaian saya sebelum ini yang dianggap agak berani.
“Tetapi saya belajar daripada setiap nasihat, seiring dengan peningkatan usia dan kematangan diri, saya kini lebih menjaga penampilan serta imej yang ditampilkan kepada umum.
“Seperti saya beritahu sebelum ini, perlahan-lahan menjadi individu lebih baik,” jelasnya.
Kerjaya seni
Menyaksikan kerjaya seni yang semakin rancak hari demi hari, dia bersyukur dengan setiap tawaran diterimanya ketika ini.
“Sama seperti kebanyakan anak seni lain yang mahu terlibat dalam karya-karya hebat, begitu juga saya.
“Harapnya dapat membintangi lebih banyak naskhah aksi kerana genre ini memberikan cabaran berbeza dan memerlukan komitmen yang tinggi,” tuturnya lagi.
Akui Alya, dia kini lebih selektif, bukan kerana cerewet sebaliknya enggan terperangkap dalam zon selesa selain mahu melakukan sesuatu di luar kebiasaan.
“Dalam masa sama, saya memang agak selektif soal watak bagi memastikan setiap karya yang dihasilkan mempunyai nilai dan kualiti tersendiri,” katanya.
Dia bahkan meletakkan sasaran untuk muncul dalam lebih banyak karya layar lebar seperti arwah bapanya.
“Insya-Allah, sekiranya diberikan rezeki dan peluang, saya ingin tampil dalam lebih banyak filem pada masa akan datang.
“Bukan sahaja untuk memantapkan karier tetapi mahu menyumbang sesuatu yang bernilai sekali gus membawa kepada perkembangan positif industri seni tanah air,” akhirinya.















