KUALA LUMPUR – Seorang aktivis mahasiswa mempersoalkan tindakan penyiasatan terhadap dirinya susulan pendedahan mengenai dakwaan kelemahan tadbir urus dan perolehan di universiti awam yang menurutnya melibatkan kepentingan dana awam.
Pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Brendon Gan berkata, dia hari ini memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields selepas disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Menurutnya, siasatan tersebut berkaitan kenyataan yang dimuat naik selepas pertemuannya bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta beberapa pegawai kanan kementerian sebelum ini.
Brendon mendakwa, kenyataan yang dikeluarkannya tidak mempunyai unsur ugutan atau ancaman, sebaliknya bertujuan membangkitkan isu berkaitan tadbir urus universiti dan dakwaan kelemahan dalam sistem semak dan imbang institusi pengajian tinggi awam.
“Fokus utama kenyataan saya adalah bagaimana Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) pada hari ini bukan sahaja bersifat menekan mahasiswa, malah mewujudkan sistem yang membolehkan berlakunya kelemahan dalam semak dan imbang berkaitan tadbir urus universiti.
“Dalam pertemuan kami, persoalan yang dibangkitkan berkaitan perolehan dan tadbir urus universiti tidak pernah dinafikan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dia berkata, beberapa isu yang diketengahkan adalah berdasarkan dapatan yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara melibatkan pengurusan kewangan dan perolehan di universiti awam.
Menurutnya, antara perkara yang dibangkitkan termasuk proses pelantikan pengurusan tertinggi universiti, mekanisme pemantauan dalaman serta kelulusan tender yang didakwa memerlukan sistem semak dan imbang lebih berkesan.
“Universiti awam menggunakan dana kerajaan dan wang pembayar cukai. Sebarang isu tadbir urus atau kelemahan dalam proses perolehan sepatutnya menjadi perhatian semua pihak.
“Jika perkara ini boleh berlaku di sebuah universiti, masyarakat berhak mengetahui sama ada perkara sama turut berlaku di institusi lain,” ujarnya.
Dia turut mempersoalkan mengapa tumpuan lebih diberikan kepada individu yang membuat pendedahan berbanding dakwaan yang diketengahkan kepada umum.
Sementara itu, peguam yang mewakilinya, Sitinur Sabrina Mohammad berkata, tindakan menyiasat individu yang membangkitkan isu tadbir urus institusi awam berpotensi menimbulkan kesan menakutkan atau chilling effect terhadap mahasiswa dan masyarakat.
“Ini bukan soal jenayah semata-mata tetapi soal kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Brendon berdiri sebagai individu yang membangkitkan isu berkaitan tadbir urus institusi pendidikan tinggi dan kepentingan awam,” jelasnya.
Menurutnya, rakyat mempunyai hak untuk mengemukakan kritikan dan mendapatkan penjelasan berhubung isu yang melibatkan pengurusan dana awam serta pentadbiran institusi yang dibiayai kerajaan.
Terdahulu, Brendon hadir ke IPD Brickfields bagi memberi keterangan berhubung kenyataan yang dimuat naik berkaitan AUKU di akaun media sosial miliknya pada 18 April lalu. – KOSMO! ONLINE














