fbpx
Gambar hiasan. - JANAAN AI

Pencerobohan nelayan asing turun hampir 74 peratus – KP Perikanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan asing (VNA) ke perairan negara menunjukkan penurunan ketara sebanyak 73.8 peratus dalam tempoh lima tahun hasil penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai agensi maritim.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, sebanyak 546 kes tangkapan VNA direkodkan bagi tempoh 2020 hingga 2025 menerusi operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan.

Menurut beliau, jumlah tangkapan menurun daripada 126 kes pada tahun 2021 kepada hanya 33 kes pada tahun lalu, sekali gus membuktikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan di perairan negara.

“Hasil kerjasama penguatkuasaan yang dilaksanakan secara bersepadu, sebanyak 546 kes tangkapan VNA direkodkan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mencatatkan 474 kes atau 86.8 peratus daripada keseluruhan tangkapan.

“Pasukan Polis Marin pula merekodkan 53 kes manakala Jabatan Perikanan sebanyak 19 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, aktiviti IUU Fishing masih menjadi cabaran utama dalam usaha memelihara sumber perikanan negara berikutan taktik yang digunakan semakin kompleks dan sukar dikesan.

Katanya, antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk mematikan Sistem Pemantauan Vesel (VMS), memanipulasi data pendaratan hasil perikanan, menceroboh kawasan perikanan yang tertakluk kepada syarat pelesenan tertentu serta pencerobohan vesel pukat tunda komersial ke Zon A.

“Aktiviti IUU Fishing bukan sahaja menyebabkan kehilangan sumber perikanan negara, malah boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem marin dan sumber pendapatan komuniti nelayan tempatan.

“Justeru, DOF akan terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 serta meningkatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim bagi memastikan sumber perikanan negara terus dilindungi,” katanya.

Beliau berkata, keluasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia yang hampir dua kali ganda keluasan daratan negara memerlukan pendekatan penguatkuasaan menyeluruh melalui kerjasama pelbagai agensi.

Menurutnya, Operasi NAGA yang menghimpunkan 17 agensi penguat kuasa termasuk APMM dan PPM terus menjadi platform utama dalam usaha membanteras pencerobohan serta aktiviti perikanan haram di perairan negara.

Katanya, walaupun operasi penguatkuasaan berdepan cabaran seperti keadaan laut bergelora ketika Monsun Timur Laut dan tindakan agresif kru vesel asing yang cuba mengelak ditahan, pihak berkuasa tetap komited mempertahankan kedaulatan perairan negara serta kelestarian sumber perikanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN