MELAKA – Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan aduan kes cabul dan rogol membabitkan seorang wanita berusia 50-an di dalam bilik jenazah sebuah masjid dalam daerah Melaka Tengah yang tular di media sosial.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan telah dibuat oleh pengadu pada pukul 9.12 pagi semalam mendakwa menjadi mangsa seksual seorang lelaki berusia 48 tahun dan kejadian itu dikatakan telah berlaku berulang kali.
Katanya, hasil siasatan lanjut termasuk keterangan diambil bagaimanapun menunjukkan tiada elemen paksaan, sekali gus gagal membuktikan kewujudan unsur jenayah seperti didakwa.
“Berkenaan isu tular dan menjadi bualan masyarakat setempat membabitkan kes cabul serta rogol yang berlaku di dalam bilik jenazah di sebuah masjid, pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu.
“Siasatan menyeluruh yang dijalankan bagaimanapun mendapati dakwaan berhubung jenayah cabul dan rogol tersebut tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Terdahulu, media melaporkan tular dakwaan seorang jemaah wanita menjadi mangsa cabul dan rogol dipercayai melibatkan siak yang berlaku di bilik jenazah sebuah masjid di negeri ini.
Susulan kejadian itu, imam masjid berkenaan dikatakan telah mengambil tindakan menggantikan siak yang baharu bagi menutupi kes tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi mengesahkan seorang siak di masjid terbabit telah meletakkan jawatannya pada Mei lalu.
Katanya, pihak masjid bagaimanapun tidak dapat mengesahkan punca lelaki tersebut meletakkan jawatannya. – KOSMO! ONLINE














