PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsikan cara berjimat cermat yang diamalkannya selepas baki wang yang tinggal dalam akaun bank hanya sekitar RM700 selepas melunaskan komitmen bulanan.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita itu berkata, dia hanya memperuntukkan RM2.50 sehari untuk makan tengah hari dengan membeli nasi lemak biasa dan merebus dua biji telur bagi memastikan perbelanjaannya mencukupi sehingga hujung bulan.
Menurutnya, dia tidak mengambil sarapan dan hanya minum air kosong pada waktu pagi bagi memastikan perbelanjaan harian dapat dikurangkan serta wang yang ada mencukupi sehingga hujung bulan.
“Lepas tolak komitmen, ni je yang tinggal. Macam mana nak bertahan sampai hujung bulan?
“Saya rebus dua biji telur setiap hari dan beli nasi lemak RM2.50. Tak ada beli-belah, kawan ajak keluar pun saya tak ikut,” katanya.
Wanita itu turut memuat naik tangkap layar baki akaun bank yang menunjukkan jumlah wang yang tinggal kurang daripada RM720.
Dalam ruangan komen yang lain, wanita berkenaan mengakui kaedah tersebut menyebabkan berat badannya turun dengan cepat.
“Memang cepat kurus. Sebulan boleh turun empat hingga lima kilogram,” balasnya kepada seorang pengguna yang menegur tabiat pemakanannya.
Dia turut mengakui ada kalanya tidak mengambil makan malam kerana tidur awal dan tidak sempat berasa lapar.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai dengan pelbagai reaksi dan cadangan daripada netizen yang berkongsi pengalaman hidup berjimat.
Seorang pengguna dikenali sebagai Yusra mencadangkan wanita itu membeli ayam seekor dan memasak sendiri nasi bagi menjimatkan kos makanan harian, selain mendapatkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual pada harga diskaun.
“Beli je ayam yang seekor RM19, boleh tahan seminggu. Sayur-sayuran dan buah pula tanya je pekerja pasar raya yang ada diskaun. Begitulah saya bertahan setiap bulan,” komennya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, buttercups3941, berkongsi pengalamannya mengamalkan simpanan paksa sebanyak RM3,000 setiap bulan walaupun terpaksa hidup berjimat dengan hanya berbaki RM500 untuk keperluan makan dan perbelanjaan lain.
“Samalah dengan saya, tolak komitmen RM2,000, kemudian RM3,000 masuk akaun simpanan, tinggal lah RM500. Saya duduk Sarawak, hari-hari makan nasi katok. Malam buat milo cicah biskut. Alhamdulillah bertahan je,” komennya. – KOSMO! ONLINE














