BALING – Seorang pekerja lelaki berdepan detik cemas apabila dilibas pedang dan disembur sejenis bahan oleh empat penjenayah dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Lesung, Kuala Ketil di sini baru-baru ini.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.
Menerusi rakaman itu, empat lelaki memakai topi keledar, topeng muka dan sarung tangan meluru ke kaunter bayaran sebelum seorang daripada mereka melibas mangsa dengan pedang.
Seorang lagi suspek dilihat menyembur sejenis bahan ke arah mangsa sebelum mereka melarikan barangan berharga.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.45 malam, Isnin lalu apabila mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 20-an didatangi empat suspek yang menaiki kereta Perodua Bezza berwarna putih.
“Keempat-empat suspek memakai topi keledar, topeng muka, jaket dan sarung tangan ketika melakukan samun tersebut. Dalam kejadian itu, salah seorang suspek melibas pedang ke arah mangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian belakang badan dan menerima rawatan di Hospital Baling. Selain itu, lelaki tersebut turut mengalami kerugian melibatkan sejumlah wang tunai.
Tambahnya, polis giat mengesan keempat-empat suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian samun ini diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














