JAKARTA – Pihak berkuasa menahan bekas ketua program makanan sekolah percuma Indonesia semalam selepas inisiatif itu dicemari insiden keracunan makanan besar-besaran dan dakwaan rasuah, sehari selepas beliau dipecat.
Program Makan Bergizi Percuma(MBG) bernilai berbilion-bilion dolar yang digembar-gemburkan itu merupakan manifesto utama kempen pilihan raya Presiden Prabowo Subianto pada tahun 2024.
Prabowo memecat Dadan Hindayana, ahli entomologi yang mengetuai MBG sejak ia ditubuhkan pada Ogos 2024, bersama dua timbalannya kelmarin.
Ketiga-tiga mereka ditahan di Jakarta semalam.
“Mereka dituduh melakukan jenayah dalam pengurusan semasa memimpin agensi ini,” kata pegawai di pejabat Peguam Negara, Syarief Sulaeman Nahdi kepada pemberita.
Jika didapati bersalah, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Pihak berkuasa sebelum ini menyerbu pejabat agensi pemakanan serta kediaman ketiga-tiga defendan itu, jelas Syarief.
MBG menyediakan makanan pecuma kepada lebih 61 juta orang menjelang Mac lalu tetapi berpuluh-puluh ribu pelajar jatuh sakit sejak ia dilancarkan pada Januari 2025.
Pengkritik-pengkritik meminta skim itu digantung atas kebimbangan kebersihan dan tuduhan rasuah.
Kumpulan antirasuah Indonesia, Corruption Watch berkata, penyingkiran ketua agensi itu ‘tidak menyelesaikan masalah’ dan menggesa MBG ditamatkan serta peruntukannya digunakan untuk tujuan nasional lain. – AFP














