KUALA TERENGGANU – Usaha lebih berani perlu digerakkan bagi membangunkan platform digital Bumiputera berskala besar yang mampu bersaing setanding aplikasi serantau seperti Gojek dan Careem.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Bumiputera tidak boleh terus sekadar menjadi pengguna atau peserta dalam ekonomi digital sebaliknya perlu muncul sebagai pemilik platform dan ekosistem teknologi.
Beliau berkata, dalam landskap ekonomi moden, penyertaan semata-mata tidak lagi mencukupi kerana nilai sebenar terletak pada pemilikan platform, penguasaan data dan penciptaan ekosistem ekonomi baharu.
“Kita boleh ramai berniaga di platform digital, tetapi siapa yang memiliki platform itu? Kita boleh ramai menjadi pengguna teknologi, tetapi siapa pula yang akan mencipta teknologi itu?” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB).
Ahmad Zahid berkata, universiti awam seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem digital Bumiputera melalui jaringan alumni, bakat muda dan kepakaran akademik dimiliki.
Menurut beliau, usaha membangunkan platform digital Bumiputera tidak boleh dilakukan secara bersendirian atau kecil-kecilan sebaliknya perlu digerakkan secara lebih bersepadu melibatkan institusi, modal, teknologi dan pasaran.
“Kejayaan platform serantau seperti Gojek di Indonesia dan Careem di Asia Barat yang bukan sekadar aplikasi tetapi membina ekosistem ekonomi baharu yang membuka peluang pekerjaan dan perniagaan berskala besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














