fbpx
Junady (kiri) Mohd. Shahar (dua dari kanan) dan Mohamad hadir pada Program Teraju Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 di Pusat Konvensyen PICCA, Arena Butterworth, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD / KOSMO!

Teraju perkukuh daya saing bumiputera, meterai kerjasama strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) terus memperkukuh pembangunan syarikat Bumiputera di wilayah Utara menerusi penganjuran Teraju Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 di Pusat Konvensyen Picca, Arena Butterworth di sini, hari ini.

Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Teraju melalui pendekatan yang lebih dekat, inklusif dan berfokus kepada keperluan komuniti perniagaan setempat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Junady Nawawi berkata, Teraju Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 merupakan platform libat urus langsung bagi memastikan mandat pembangunan syarikat Bumiputera dapat disampaikan secara lebih dekat di peringkat negeri.

Menurutnya, siri jelajah ini bertujuan menghubungkan usahawan dengan agensi kerajaan, rakan perbankan, rakan strategik dan pemain industri sekali gus membuka peluang kepada kumpulan berkenaan mengembangkan atau menskalakan perniagaan.

“Komitmen Teraju adalah membawa peluang pemerkasaan dan pembangunan ekonomi Bumiputera terus ke wilayah utara, bukan sekadar ke pusat.

“Hari ini juga, dua lagi kerjasama strategik dimeterai melalui pertukaran Memorandum Persefahaman antara Teraju dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dan juga MMC Engineering Sdn. Bhd. (MMC),” katanya dalam ucapan Perasmian Teraju Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad bin Abdul Hamid. Terdahulu, siri jelajah itu telah dilaksanakan di Lembah Klang, Kota Kinabalu dan Kuching.

Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi penyerahan projek di bawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi inisiatif Producing Mushroom Using Optimal Humidity System-Driven For Community (Mushroom D4C).

Program berasaskan komuniti itu memfokuskan kepada pemindahan teknologi, latihan keusahawanan dan penyediaan infrastruktur bagi membantu peserta menjana pendapatan tambahan melalui pengeluaran cendawan yang sistematik, yang dilaporkan telah menjana hasil keseluruhan melebihi RM1.7 juta.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebagai Super-Scaler, Teraju komited untuk mempercepat pertumbuhan syarikat bumiputera, memperkukuh penciptaan nilai dan menyediakan lebih banyak syarikat bumiputera untuk memasuki pasaran modal.

“Saya berharap Teraju Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama, pembiayaan, padanan industri dan kejayaan syarikat Bumiputera di Koridor Utara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN