fbpx
Mohd. Shahar ketika ditemui pemberita pada Program Teraju Outreach Pulau Pinang 2026 di Pusat Konvensyen PICCA, Arena Butterworth, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD / KOSMO!

Teraju lulus RM134 juta pembiayaan kepada 143 syarikat Bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah meluluskan hampir RM134 juta pembiayaan kepada 143 syarikat syarikat Bumiputera di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak melalui pelbagai program bagi tempoh 1 Disember 2024 hingga 31 Mei lalu.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 260 syarikat dari wilayah Utara telah mengemukakan permohonan kepada program-program pembiayaan Teraju.

“Bagi saya, angka ini membawa satu mesej yang sangat positif. Ia menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan usahawan Bumiputera untuk berkembang.

“Sejak tahun 2016, Teraju melalui kerjasama strategik di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara telah menyokong 61 projek Bumiputera dengan nilai pelaburan melebihi RM1 bilion.

“Usaha ini turut disokong oleh Dana Mudah Cara berjumlah RM132.71 juta dan telah mewujudkan hampir 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di wilayah utara,” katanya kepada pemberita pada Program TERAJU Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 di Pusat Konvensyen PICCA, Arena Butterworth di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, kerajaan terus komited memperkasakan agenda pembangunan bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Jelasnya, pelan tersebut memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu meningkatkan penyertaan Bumiputera yang berkualiti dalam ekonomi, memperkukuh pemilikan aset dan kekayaan bumiputera serta memperluas penguasaan Bumiputera dalam sektor strategik ekonomi negara.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, kekuatan Pulau Pinang dalam industri semikonduktor, elektrik dan elektronik, teknologi digital serta pembuatan berteknologi tinggi telah meletakkan negeri ini pada kedudukan yang sangat strategik dalam ekonomi global.

“Saya sentiasa percaya bahawa Pulau Pinang mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pembangunan ekonomi negara. Antaranya ia menjadi nadi penting kepada pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah memastikan lebih banyak syarikat Bumiputera menyertai ekosistem ini dan berkembang bersama-sama.

“Dalam konteks ini, Kementerian Ekonomi komited memastikan wilayah utara terus menjadi pemacu pertumbuhan yang inklusif, dengan manfaatnya kepada usahawan Bumiputera, pekerja mahir, vendor tempatan dan komuniti setempat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN