BERLIN – Saingan Piala Dunia 2026 bakal menjadi medan terbaik buat Jerman untuk kembali menaikkan semula maruah pasukan selepas jurulatih, Julian Nagelsmann meletakkan sasaran untuk bergelar juara.
Pengendali berusia 39 tahun itu meletakkan sasaran juara apabila mereka kempunan untuk memenangi Euro 2024 selepas tersingkir di peringkat suku akhir menerusi kekalahan 1-2 kepada Sepanyol.
Nagelsmann kemudiannya menyuarakan hasrat untuk menebus kekecewaan itu dengan membantu Jerman menjadi juara Piala Dunia biarpun sedar saingannya lebih sukar jika dibandingkan dengan gelaran Euro.
“Ia memang menyakitkan apabila berdepan kekalahan dan gagal untuk menjulang trofi (Euro 2024). Jadi, kami perlu menunggu dua tahun lagi bagi menebus kekecewaan dengan menjadi juara Piala Dunia,” katanya ketika tewas kepada Sepanyol.
Walaupun sasaran awal yang diletakkan terlalu tinggi, namun ia dianggap realistik buat pasukan seperti Jerman memandangkan mereka memiliki pemain-pemain berkualiti seperti Kai Havertz, Florian Wirtz dan Jamal Musiala.
Sementara itu, legenda bola sepak Jerman, Uli Hoeness percaya mereka mampu mencapai sasaran tersebut sekiranya semua pemain dapat mencipta keserasian biarpun sedar Nagelsmann kerap menukar kesebelasan utama.
“Jika Jerman mampu menjadi sebuah pasukan yang serasi, kami tetap ada peluang walaupun saya tahu jurulatih (Nagelsmann) tidak pernah menggunakan kesebelasan utama yang serupa,” ujar pemenang Piala Dunia 1974 itu. – AGENSI














