KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin kempunan untuk melakar kejutan sekali lagi ke atas gandingan No.1 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta hari ini, beregu yang baru digandingkan itu terpaksa akur tewas menerusi keputusan straight-set 19-21, 18-21 dalam tempoh 45 minit.
Walaupun tewas, namun Jimmy-Su Yin menunjukkan potensi cukup besar apabila mampu memberikan tentangan sengit kepada juara Asia 2024 itu dan ia dapat dibuktikan menerusi keputusan perlawanan tersebut.
Turun sebagai beregu bukan pilihan, pasangan negara tidak memberikan laluan mudah pilihan utama kejohanan itu apabila langsung tidak membenarkan Yan Zhe-Dong Ping untuk memimpin perlawanan dengan jurang mata besar.
Kedua-dua beregu juga beberapa kali terikat di set pertama, namun tuah nyata lebih memihak kepada pasangan China itu untuk mencatat kemenangan 21-19, sekali gus mendapat tonik bagi aksi set kedua.
“Hari ini mereka nampak sudah lebih bersedia untuk bermain. Tambahan pula, mereka adalah beregu yang lebih berpengalaman, jadi mereka lebih konsisten ketika mata penting,” kata Jimmy kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada set kedua, Yan Zhe-Dong Ping langsung tidak memberikan peluang kepada Jimmy-Su Yin untuk mendahului permainan tetapi mereka tidak mampu menjarakkan kedudukan kerana dicabar hebat beregu negara.
Walaupun cuba mengejar dalam usaha mengheret perlawanan ke set penentuan, namun Jimmy-Su Yin terpaksa akur untuk meninggalkan kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu lebih awal apabila tewas 18-21.
Sebagai rekod, ini merupakan perlawanan kedua buat kedua-dua beregu dengan pertemuan sulung di pusingan pertama Terbuka Singapura minggu lalu memihak kepada pasangan negara menerusi kemenangan 23-21, 21-16. – KOSMO! ONLINE














