GUA MUSANG – Aliran trafik menuju ke bandar Gua Musang dari arah Jalan Gua Musang-Kuala Krai bergerak perlahan sejauh lima kilometer berikutan peningkatan jumlah kenderaan perantau yang mengambil peluang pulang ke ibu kota sempena cuti Hari Wesak.
Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi sepanjang laluan utama mendapati, kenderaan bergerak perlahan terutama di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok, Kampung Batu 5 dan Bandar Utama menuju ke bandar Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, bermula tengah hari ini kenderaan pengguna bergerak perlahan menuju ke bandar Gua Musang kira-kira lima kilometer.
Katanya, peningkatan aliran trafik dipercayai berlaku apabila perantau mula kembali ke ibu kota selepas meluangkan masa bersama keluarga sepanjang cuti perayaan Hari Raya Aidiladha.
“Keadaan trafik masih terkawal dan dipantau oleh pihak polis bagi membantu melancarkan aliran trafik.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan, mematuhi peraturan lalu lintas serta menjaga jarak selamat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Seorang perantau, Fauziah Shamsudin, 38, berkata, dia mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu pada hari ini walaupun kembali bekerja pada hari Rabu.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan kesesakan trafik yang dijangka lebih teruk pada saat-saat akhir cuti. – KOSMO! ONLINE














