PETALING JAYA – Aliran trafik di lebuh raya utama meningkat dan bergerak perlahan susulan pertambahan kenderaan orang ramai sempena cuti hujung minggu termasuk cuti persekolahan dan cuti umum esok.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi perkongsiannya memaklumkan, trafik meningkat dan bergerak perlahan di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara iaitu Tapah ke Gopeng serta Jawi menuju Bandar Cassia.
Arah selatan pula turut mengalami keadaan sama melibatkan Kepala Batas ke Plaza Tol Hutan Kampung, Sungai Petani Selatan Utara ke Sungai Petani Selata, Sungai Dua ke Plaza Tol Juru, Jawi ke Bandar Baharu, Taiping Utara ke Changkat Jering serta Kuala Kangsar ke Terowong Menora.
Keadaan sama di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara melibatkan Skudai ke Kulaijaya, Yong Peng Utara ke Pagoh, Senawang ke Port Dickson serta Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar.
Keadaan sama berlaku di arah selatan melibatkan Putra Mahkota ke Nilai Utara, Nilai ke R&R Seremban, Hentian Sebelah Senawang ke Pedas Linggi, Pedas Linggi ke Simpang Ampat serta Sedenak ke Kulaijaya.
Dalam masa sama, aliran trafik meningkat dan bergerak perlahan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak arah barat iaitu Bentong menuju Bukit Tinggi, manakala arah timur di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) ke Plaza Tol Gombak serta Gombak ke Genting Sempah.
Situasi sama juga dilaporkan di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 arah barah iaitu Temerloh ke Lanchang. – KOSMO! ONLINE














