KONFLIK di Asia Barat yang masih berlangsung tanpa noktah telah meninggalkan kesan besar terhadap ekonomi global termasuk Malaysia terutamanya apabila permintaan terhadap bahan mentah semakin meruncing.
Beberapa negara bergelut dengan kenaikan harga petrol dan diesel susulan penutupan Selat Hormuz oleh Iran.
Selat Hormuz yang merupakan laluan satu perlima bekalan minyak dunia dan gas asli cecair itu ditutup sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel mengebom Iran pada 28 Februari lalu.
Perang tersebut menyebabkan penghantaran bahan api melalui Selat Hormuz hampir terhenti sepenuhnya, dengan 80 peratus minyak yang melaluinya adalah untuk pasaran Asia.
Situasi ini membawa kepada apa yang disifatkan oleh IEA sebagai gangguan tenaga global terburuk dalam sejarah.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berkata, penutupan Selat Hormuz berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia kerana laluan strategik itu merupakan nadi utama perdagangan minyak dan gas dunia.
“Ia bukan sahaja penting kepada Malaysia tetapi seluruh dunia kerana peranannya sebagai laluan utama eksport untuk pelbagai produk.
“Selain bekalan tenaga, barangan lain yang dieksport dari negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, Oman dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) turut bergantung sepenuhnya dengan laluan ini.
“Sebagai nadi utama perdagangan, penutupan mencetuskan kesan jangka pendek yang ketara terhadap Malaysia. Situasi ini mengakibatkan kenaikan harga di pasaran,” kata Azmi.
Meskipun berdepan ketidaktentuan harga global susulan penutupan Selat Hormuz, beliau menegaskan kedudukan nilai ringgit kekal stabil berikutan prestasi atau pergerakan dolar AS.
“Ringgit akan menjadi lebih kukuh apabila dolar AS menjadi semakin lemah. Jika dibandingkan dengan mata wang serantau seperti dolar Singapura atau rupiah, ringgit menunjukkan prestasi lebih stabil hasil daripada persepsi ekonomi negara yang positif.
“Contohnya, jumlah dagangan negara pada April lalu mencatatkan peningkatan ketara antara 28 hingga 28 peratus berbanding tempoh sebelumnya.
“Peningkatan itu merupakan hasil usaha berterusan kerajaan sejak Presiden AS, Donald Trump memperkenalkan tarif dengan memperluaskan pasaran eksport baharu bagi produk tempatan.
“Strategi kerajaan dalam menembusi pasaran di Afrika, Amerika Latin, Eropah terutamanya bagi barangan elektronik, dilihat sebagai langkah proaktif dalam menghadapi krisis ekonomi semasa,” tambahnya.
Menurutnya lagi, rakyat dijangka menerima kesan secara tidak langsung sekiranya penutupan Selat Hormuz berlanjutan, khususnya melibatkan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.
“Terdapat kemungkinan besar bahawa subsidi terpaksa dikurangkan, yang kemudian akan mengakibatkan kenaikan harga RON95 dalam situasi ini,” katanya.
Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi melindungi pengguna sebaik mungkin, namun ketidakstabilan berpanjangan di Asia Barat dijangka akan menjejaskan ekonomi negara. -KOSMO! ONLINE














