KLANG – Tindakan kejam dipercayai ‘melemaskan’ beberapa anak dan kucing dewasa dengan memasukkannya ke dalam bungkusan plastik sampah sebelum dibuang dalam sebuah kotak mengundang kemarahan orang ramai di sini.
Kejadian itu tular menerusi satu rakaman video berdurasi lebih dua minit yang memaparkan kotak berisi kucing tersebut diletakkan di hadapan pondok pengawal sebuah apartmen di Bayu Perdana di sini.
Perakam video kemudian membuka kotak tersebut di pekarangan sebuah rumah sebelum mendapati beberapa anak kucing dan seekor ibu kucing dimasukkan ke dalam bungkusan plastik hitam.
Lebih menyayat hati apabila dua ekor anak kucing ditemukan dalam keadaan kejung dan ‘nyawa-nyawa ikan’ dipercayai akibat sesak nafas.
Kejadian itu dipercayai disedari selepas kotak berkenaan ditinggalkan di kawasan pondok pengawal apartmen terbabit.
Perakam video turut memaklumkan akan menularkan rakaman tersebut selain membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Tengoklah kucing itu sampai begitu keadaannya. Ya Allah. Sampai lemas.
“Ini betul kejam. Ya Allah. Ini satu atau dua jam lagi mati.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey ketika dihubungi menyatakan belum menerima sebarang laporan setakat ini. – KOSMO! ONLINE














