GEORGE TOWN – Suasana di perkampungan Teluk Bahang di sini bertukar kecoh apabila seekor lembu korban terlepas sehingga menyebabkan kira-kira 70 penduduk berlari menangkapnya hingga ke Taman Negara, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 malam ketika penduduk menyedari ketiadaan haiwan korban yang sebelum itu ditambat di tepi laut berdekatan Kampung Telok Awak.
Setiausaha Masjid Jamek Teluk Bahang, Muhammad Danial Alimin berkata, kira-kira 70 penduduk kampung membantu menangkap lembu korban itu sehingga dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Semua pakat kejar hingga ke dalam hutan Taman Negara sebelum haiwan itu patah semula masuk ke pekan.
“Kami terpaksa meminta bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang dan polis untuk bantu tangkap serta jaga keselamatan.
“Lembu seberat 700 kilogram itu berjaya ditangkap di bulatan dekat pekan dan ditarik oleh jentera bomba yang hadir di lokasi,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Beritahu Muhammad Danial, sepatutya lembu korban itu disembelih pada hari ini namun ekoran kejadian berlaku, pemiliknya iaitu Ustaz Danial Azhar telah memutuskan untuk melakukannya pada pukul 10 malam tadi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, pihaknya menerima panggilan khidmat khas berhubung seekor lembu korban terlepas daripada tambatan pada pukul 9.20 malam tadi.
“Kerja-kerja menangkap lembu korban dilakukan dengan bantuan orang awam dan operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 9.52 malam,” -KOSMO! ONLINE














