TONGGAK import Kuching City, Yuki Tanigawa mendedahkan belum fikir tentang hasrat menukar kerakyatan meskipun sudah layak untuk dinaturalisasikan selepas menetap di Malaysia lebih lima tahun.
Pertahanan berusia 29 tahun itu mengakui masih lagi sayang dengan statusnya sebagai pemain kelahiran Jepun dan enggan mengulas lanjut mengenai potensi menyarung jersi Harimau Malaya.
“(Buat masa ini) saya masih lagi rakyat Jepun. Saya cintakan Malaysia tetapi saya tidak boleh memberi komen lanjut mengenai perkara tersebut (jadi pemain naturalisasi),” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak tidak mempunyai masalah untuk memberi sokongan sekiranya Tanigawa dinaturalisasi selepas mempamerkan peningkatan sejak dua tahun lalu.
Sebagai rekod, Tanigawa dianggap salah seorang pemain Kuching City yang menyinar pada musim ini selepas membantu pasukan muncul naib juara Liga Super selain bergelar finalis Piala Malaysia 2026.
Tanigawa ‘kunci mulut’ dikait Harimau Malaya memulakan kariernya di Malaysia bersama The Cats pada 2020 sebelum berhijrah seketika ke Kelantan United pada 2021 dan kembali semula ke kelab berpangkalan di Sarawak setahun kemudian.
Lebih menarik, Tanigawa juga bergelar mualaf selepas berkahwin dengan wanita tempatan pada 2023 dan dikurniakan cahaya mata pada tahun lalu.
Selain Tanigawa, beberapa lagi tonggak import yang layak dinaturalisasikan selepas berbakti lebih lima tahun di Liga Super seperti dua bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo serta pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Gallifuoco.














