ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau di sini pagi ini.
Berangkat sama anakanda-anakanda puteri baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Lebih 1,200 jemaah terdiri daripada anak kariah Kota Raja Arau, rakyat negeri ini serta umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan Aidiladha dalam suasana penuh kesyukuran, perpaduan dan ukhuwah Islamiah.
Solat Sunat Aidiladha tersebut diimamkan Imam Besar Negeri Perlis, Amnan Muthqa Azanol.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, sambutan Aidiladha itu terus menyemarakkan syiar Islam selain memperkukuhkan penghayatan nilai keikhlasan, ketaatan dan semangat pengorbanan dalam kehidupan seharian.
“Nilai-nilai murni ini menjadi pemangkin dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan berdaya maju di samping terus mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara,” titah baginda.-KOSMO! ONLINE














