PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan penangguhan sementara urusan niaga pertukaran hak milik (THM) kenderaan secara dalam talian berkuat kuasa hari ini.
Penangguhan serta-merta tersebut melibatkan saluran portal awam, kiosk, serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn. Bhd.
JPJ dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut diambil sebagai tindakan kawalan kawal selia susulan aduan rasmi dan isu tular di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
“Bagi memastikan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan terpelihara, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat kini perlu dilaksanakan secara fizikal di kaunter pejabat JPJ terpilih.
“Urusan THM kategori persendirian individu boleh diselesaikan pada hari yang sama di semua Pejabat JPJ Negeri dan cawangan,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, bagi kategori persendirian syarikat, proses pengesahan dan kelulusan akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja bermula daripada tarikh penyerahan dokumen lengkap.
Menurut JPJ, bagi saluran perkhidmatan eAuto, hanya urusan niaga Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) sahaja yang masih beroperasi seperti biasa.
“Sistem tukar hak milik kekal melalui eSerahan Tukar Milik (eSTM) pula ditangguhkan buat sementara waktu. Mana-mana pihak termasuk syarikat kenderaan terpakai yang ingin melaksanakan eSTM perlu mengemukakan permohonan di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan,” ujarnya.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa menyemak dan mengemas kini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing di platform JPJ bagi mengelakkan sebarang kesulitan. – KOSMO! ONLINE














