SHAH ALAM – Sekumpulan mat rempit nekad mengangkat motosikal melintasi pembahagi jalan dan longkang untuk meloloskan diri selepas kawasan Plaza Tol Bukit Raja, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini digempur polis awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku ketika polis menjalankan Operasi Bersepadu Samseng Jalanan selepas melakukan pemantauan dan risikan selama beberapa jam di lokasi berkenaan.
Operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor dengan kerjasama JSPT Bukit Aman, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Polis Selangor memaklumkan, pemeriksaan dilakukan terhadap 103 kenderaan dan 120 individu berusia 14 hingga 32 tahun.
“Sebanyak 200 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala 41 motosikal disita untuk tindakan lanjut. AADK turut melakukan 50 pemeriksaan rambang dan menahan lapan individu disyaki positif dadah,” katanya hari ini.
Menurutnya, semua tangkapan dan sitaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi tindakan lanjut. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan dan Ketua JSPT negeri, Superintendan Edward Kondokor. – KOSMO! ONLINE














