DUNGUN – Dua remaja lelaki berasa terkilan kerana gagal menyelamatkan rakan mereka yang adik-beradik iaitu Muhammad Aidil Amsyar Mohd. Zul- Zunaidi, 14, dan Muhammad Amir Ashraf ,15, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Beril, Paka, di sini hari ini.
Muhammad Afi Naashif Adli Noone ,15, berkata, dia dan rakannya, Muhammad Farish Iqbal Cik Mohana Runasdi ,14, hampir berjaya menyelamatkan dua beradik tersebut sebelum mereka dihanyutkan arus deras sungai.
Ceritanya, Muhammad Aidil dan Muhammad Amir mengajak dia dan Muhammad Farish mandi sungai sebelum mereka pulang ke kampung di Kelantan esok untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Kami tiba di sungai pada pukul 10.50 pagi. Ketika mandi, air masih surut sebelum berlaku air pasang kira-kira enam minit kemudian menyebabkan Aidil dan Amir terkapai-kapai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Muhammad Afi berkata, Muhammad Farish juga hampir lemas selepas Muhammad Aidil menerpa di belakang badannya. Muhammad Farish bernasib baik kerana dapat timbul semula sebelum berenang ke tebing untuk mengambil kayu.
“Pada masa sama, Aidil menghampiri saya yang sedang memegang abangnya. Sebaik Aidil berpaut pada badan abangnya, genggaman tangan saya dan Amir terlerai sebelum mereka hanyut dibawa arus,” katanya. – KOSMO! ONLINE














