KUALA SELANGOR – Jeritan meminta pertolongan seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras lebih 500 meter selepas terjatuh dari kawasan jeti berhampiran Jambatan Kuala Selangor di sini membawa kepada tindakan pantas seorang nelayan menyelamatkannya.
Mangsa berusia lingkungan 50-an itu turut berjaya diselamatkan kehadiran Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor di sekitar sungai tersebut.
Jurucakap APM berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 7.26 pagi.
Katanya, kejadian itu disedari seorang nelayan yang terdengar bunyi dentuman kuat seperti objek jatuh ke dalam sungai.
“Mangsa dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum dihanyutkan arus deras sejauh kira-kira 500 meter dari lokasi asal sebelum seorang nelayan membawa bot miliknya untuk memberi bantuan awal,” katanya hari ini.
“Lelaki itu kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut dan pemantauan awal,” katanya. – KOSMO! ONLINE














