NILAI – Mahsuri Food Sdn. Bhd. (Mahsuri Food) melancarkan kilang moden di Bandar Enstek di sini yang menampilkan penggunaan teknologi ‘Rotary Koji Making Machine’, sekali gus mengukuhkan keupayaan pembuatan makanan halal negara bagi memenuhi permintaan pasaran global yang semakin meningkat.
Pelancaran kilang baharu itu merupakan pelaburan strategik dalam automasi dan teknologi pemprosesan makanan moden bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, kecekapan operasi serta konsistensi kualiti produk halal keluaran syarikat.
Didirikan di atas tapak berkeluasan 45,000 meter persegi, kilang tersebut direka sebagai hab pembuatan moden khusus bagi pengeluaran kicap, sos tiram dan sos masakan mudah keluaran di bawah jenama Mahsuri.
Kilang tersebut turut dilengkapi sistem pengeluaran automatik sepenuhnya meliputi proses penyediaan bahan mentah, fermentasi, pembotolan dan pembungkusan di bawah kawalan kualiti yang ketat.
Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Food, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, penggunaan teknologi moden dalam proses pengeluaran menjadi fokus utama syarikat dalam memperkukuh daya saing industri makanan halal tempatan.
Katanya, pelaburan dalam fasiliti moden tersebut bukan sekadar meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah memperkukuh standard pembuatan makanan halal negara.
“Pelaburan dalam teknologi seperti ‘Rotary Koji Making Machine’ merupakan sebahagian komitmen kami untuk terus berinovasi dan meningkatkan keupayaan pembuatan makanan halal di Malaysia.
“Kami mahu memastikan produk yang dihasilkan bukan sahaja memenuhi cita rasa pengguna, tetapi mematuhi standard keselamatan makanan dan kualiti antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Baharu Mahsuri Food hari ini. Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sementara itu, Aminuddin berkata, pembangunan fasiliti moden Mahsuri membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Negeri Sembilan sebagai hab industri makanan dan halal yang semakin berkembang.
“Kilang tersebut bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi negeri malah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan halal global,” katanya.-KOSMO! ONLINE














