SUNGAI PETANI – Dua lelaki direman bagi membantu siasatan kejadian letupan tong gas helium di tapak ekspo makanan berdekatan Dataran Jam Besar dan SP Plaza, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 38 tahun direman empat hari, manakala seorang lagi berusia 18 tahun selama sehari bermula hari ini.
Katanya, perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Hamizah Mat Shah pagi tadi mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Menurutnya, dua lelaki berkenaan ditahan malam tadi di lokasi kejadian selepas diambil keterangan berkaitan pemilikan tong gas yang meletup hingga menyebabkan kematian seorang peniaga air balang dan mencederakan tiga peniaga lain.
“Sewaktu ditahan malam tadi kedua-dua lelaki yang berasal dari Kuala Kedah itu mengaku membancuh bahan kimia untuk diisi ke dalam sebuah tong gas sebagai persediaan untuk jualan belon di tapak ekspo berkenaan.
“Suspek turut mengaku sebagai peniaga belon dan baru hari pertama hadir untuk berniaga di tapak penganjuran ekspo makanan berkenaan,” katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan sebarang tindakan cuai.
Terdahulu media melaporkan seorang lelaki berumur 42 tahun maut manakala tiga lagi individu berusia 16, 36 dan 49 cedera terkena serpihan tong gas helium yang meletup di tapak ekspo berkenaan malam tadi.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7.50 malam itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di perut serta putus tangan kanan.- KOSMO! ONLINE














