fbpx
Mahkamah Klang - Gambar hiasan

Geng Shafik: Dua tertuduh kes seludup migran tidak dibenar jamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai Geng Shafik didakwa di Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang pada 15 Mei lalu.

Ketua Pengarah Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, kedua-dua tertuduh ditahan hasil serbuan di sebuah rumah di sekitar Petaling Jaya, Selangor yang dipercayai dijadikan lokasi penampungan dan transit pendatang asing tanpa izin (PATI) pada 7 Mei lalu.

“Siasatan mendapati kedua-dua lelaki Bangladesh itu dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket atau ‘facilitator’ serta penjaga rumah transit bagi sindiket Geng Shafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut membawa kepada penahanan sembilan warga Bangladesh yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.

“Siasatan awal mendapati semua migran terbabit memasuki negara ini kira-kira dua hari sebelum itu melalui laluan haram di Kelantan sebelum dihantar ke sekitar Lembah Klang dan beberapa destinasi lain,” katanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melindungi sembilan migran yang diseludup di sebuah premis kediaman di Petaling Jaya.

Mahkamah turut memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam tanpa tawaran jaminan dan kedua-dua tertuduh diarahkan ditahan di penjara sementara menunggu sebutan semula kes.

Tegas Zakaria, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN