PETALING JAYA – Agrobank melancarkan Program Pemenang
Cashless Transaksi Bazar Ramadan Agrobank dengan kerjasama Platform Selangor(PLATS), sebuah platform dikuasakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).
Program tersebut telah meraikan 79 usahawan bazar Ramadan dari 16 lokasi melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan, yang terpilih sebagai pemenang Kitaran 2 kempen “Ramadan Lebih Mudah, Jualan Tanpa Tunai!” 2026 berdasarkan pencapaian penggunaan DuitNow QR sepanjang tempoh penilaian dari 5 hingga 18 Mac 2026.
Kempen yang berlangsung dari 19 Februari hingga 19 Mac 2026 itu telah mencatatkan 854,693 transaksi tanpa tunai dengan nilai keseluruhan mencecah RM9.70 juta, sekali gus mencerminkan penerimaan yang
semakin kukuh terhadap kaedah bayaran digital dalam kalangan komuniti setempat.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin,sambutan memberangsangkan ini menunjukkan bahawa peniaga kecil semakin bersedia menerima kaedah moden apabila kemudahan yang ditawarkan bersesuaian dengan keperluan operasi harian mereka.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa teknologi kewangan kini semakin dekat dengan ekosistem perniagaan mikro dan kecil, termasuk di bazar Ramadan.
“Bagi Agrobank, pendekatan sebegini bukan sekadar memudahkan urusan jual beli, malah membantu usahawan membina data kewangan yang lebih tersusun bagi menyokong perkembangan perniagaan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, maklumat jualan yang lebih jelas dan konsisten dapat membantu peserta menilai prestasi perniagaan, merancang aliran tunai serta meneroka peluang pembiayaan dengan lebih baik.
“Apabila data perniagaan direkodkan secara sistematik, usahawan mempunyai asas yang lebih kukuh untuk membuat keputusan kewangan. Inilah antara nilai tambah yang ingin dibawa oleh Agrobank dalam memperkasa komuniti perniagaan kecil di peringkat akar umbi,” tambah beliau. -KOSMO! ONLINE














