IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan merangka program yang memberi tumpuan kepada aspek pengurusan emosi golongan ibu yang mengalami gejala ‘burnout’ atau lesu upaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, langkah itu diambil ekoran data terkini diperoleh menerusi kajian dilakukan Universiti Sains Malaysia (USM).
“Ibu-ibu di Perak yang mengalami burnout mungkin disebabkan oleh faktor seperti bekerja dan pada masa sama memainkan peranan sebagai ibu.
“Perasaan bersalah tak dapat memenuhi semua tanggungjawab itu mungkin menjadi faktor mereka burnout. Pandangan itu sedikit disokong oleh kajian yang kita lakukan,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berucap merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Perak 2026 yang bertemakan Seteguh Kasih Ibu.
Sehubungan itu, Salbiah berkata, kerajaan negeri Perak sedang melihat ruang kerjasama dengan rakan-rakan strategik termasuk pertubuhan bukan kerajaan untuk mewujudkan program seperti pengurusan emosi selain Naungan Kasih.
“Itulah yang cuba kita lakukan kerana apabila ibu-ibu ini dijaga emosi dan fizikalnya dengan baik, maka kita dapat mengurangkan masalah sosial yang ada di negeri Perak ini.
“Ia sekali gus membolehkan kita membangunkan Perak mengikut acuan yang ingin kita bentuk,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyifatkan golongan ibu sebagai nadi yang menjana pembangunan di negeri ini, justeru golongan tersebut wajar dihargai oleh semua pihak.
“Tanpa didikan seorang ibu yang mendidik anak-anaknya, mana mungkin Perak dapat membangun dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE














