fbpx
Tangkap layar video tentera rejim Zionis Israel memintas kapal aktivis GSF di perairan antarabangsa.

Peguam Adalah cabar penahanan aktivis GSF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Wakil The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) bersama kumpulan peguam sukarela kini telah diberikan akses ke Pelabuhan Ashdod untuk menjalankan konsultasi undang-undang susulan penculikan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Global Sumud Flotilla (GSF).

Adalah menerusi kenyataan memaklumkan, peserta flotila ditahan di Pelabuhan Ashdod serta dibawa masuk ke Israel tanpa kerelaan.

“Susulan tindakan tentera Israel memintas secara tidak sah FFC dan GSF di perairan antarabangsa, peserta yang berada di atas kapal termasuk aktivis solidariti antarabangsa, pembela hak asasi manusia dan sukarelawan perubatan, kini dibawa ke pelabuhan Ashdod di Israel.

“Para peserta ini didakwa telah diculik secara paksa dari perairan antarabangsa dan dibawa ke wilayah Israel sepenuhnya tanpa kerelaan mereka,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, Adalah menegaskan, tindakan tentera rejim Zionis Israel merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

Katanya, pihak tentera memintas kapal awam di perairan antarabangsa, pemindahan paksa warga antarabangsa ke wilayah Israel tanpa kerelaan mereka serta penafian laluan selamat untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang dikenakan sekatan.

“Tindakan ini adalah lanjutan langsung daripada dasar hukuman kolektif dan kebuluran yang dikenakan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Pasukan peguam akan mencabar penahanan tersebut dan menuntut pembebasan segera semua peserta flotila,” kata Adalah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN