KOTA BHARU – Dua orang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di sebuah rumah di Kampung Binjai, Banggu di sini pada bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, Muhammad Hakim Zikrullah Mohd. Zamran, 25, dan Mohamed Eerman Daniel Mohamed Afrizal, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, di sebuah rumah di Kampung Binjai, Banggu di sini kira-kira pukul 11 malam pada 13 April lalu.
Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Muhammad Hakim dan Mohamed Eerman bersama dua lagi rakan, Mohamad Areef Mohd. Zuki, 25, dan Mohamad Aiman Shah Mohd. Azizi, 26, yang juga bekerja sebagai buruh tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan keterangan dan menyembunyikan bukti dengan membuang mayat mangsa.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat lelaki itu didakwa mengetahui kesalahan bunuh melibatkan Muhammad Zakir Fikri dan membuang mangsa di tepi jalan dengan niat mengelakkan Muhammad Hakim dan Mohamed Eerman daripada dikenakan hukuman undang-undang.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Chap Bekelam dekat Bachok kira-kira pukul 3.30 pagi pada 14 April lalu.
Keempat-empat lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin selain menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dendam lama dipercayai menjadi punca seorang lelaki OKU lembam, Muhammad Zakir Fikry dipukul sebelum ditinggalkan di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada 14 April lalu. – KOSMO! ONLINE














