fbpx
Zambry

Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi – Zambry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan menegaskan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi demi memenuhi tuntutan mana-mana pihak termasuk melibatkan isu pengambilan pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kenyataan Dong Zong bertarikh 15 Mei lalu yang mendakwa kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar UEC adalah tersasar serta tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan seimbang, inklusif dan bertanggungjawab bagi memastikan akses pendidikan tinggi dapat diperluaskan tanpa mengorbankan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan bukan sekadar soal akademik semata-mata.

“Ia turut melibatkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zambry berkata, kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu.

Katanya, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini.

“Kerajaan perlu mempertahankan prinsip dan dasar nasional yang telah sekian lama menjadi asas perpaduan serta identiti negara,” ujarnya.

Katanya, langkah kerajaan memberi laluan kepada calon UEC memohon ke IPTA bagi kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina dengan syarat mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan lulus Sejarah SPM bukan sesuatu yang kabur, tidak adil atau kecacatan sistemik seperti didakwa Dong Zong.

Sebaliknya, katanya, pendekatan itu bersifat inklusif dan bertanggungjawab dalam menghormati kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Dalam hal ini, ketegasan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai asas kenegaraan tidak boleh dikompromi.

“Prinsip ini mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak,” katanya.

Tambahnya, universiti awam merupakan institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara, justeru kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN