fbpx
MOHAMED KHALED menyertai permainan rakyat pada Karnival Hari Keluarga Kita Warga Angkatan Tentera Malaysia Zon Selatan, di X Park Impiana 2 Square, Kluang hari ini. Foto SHIDDEQQIIN ZON

Malaysia pertimbang beli peluru berpandu daripada empat negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Kerajaan sedang mempertimbangkan pembelian peluru berpandu daripada empat negara termasuk negara Eropah, Turki dan Korea sebagai pengganti sistem persenjataan sedia ada bagi kegunaan kapal tempur pesisir (LCS) negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beberapa negara telah mengemukakan tawaran pembekalan peluru berpandu susulan keperluan mendapatkan sistem persenjataan yang bersesuaian dengan keupayaan aset pertahanan negara.

Menurut beliau, ketika ini kerajaan masih berada pada peringkat penilaian bagi memastikan sistem peluru berpandu yang dipilih mampu disepadukan dengan sistem persenjataan kapal LCS.

“Kita sedang menilai beberapa aspek penting termasuk kemampuan tembakan peluru berpandu itu sama ada ia selari dengan sistem senjata dimiliki kapal LCS negara.

“Banyak negara telah menawarkan sistem mereka sebagai pengganti peluru berpandu sebelum ini, namun beberapa penilaian perlu dibuat terlebih dahulu,” katanya selepas menghadiri Hari Keluarga Angkatan Tentera Zon Selatan bertemakan Karnival Sukan 7 Briged Hari Keluarga Kita di X Park Impiana 2 Square, di sini.

Mohamed Khaled berkata, selain kesesuaian sistem, tempoh penghantaran juga menjadi faktor utama dalam menentukan keputusan pembelian tersebut.

Menurutnya, kerajaan memberi keutamaan kepada negara yang berupaya membekalkan peluru berpandu itu dalam tempoh antara satu hingga dua tahun.

“Selain tempoh pembekalan yang singkat, harga setiap peluru juga akan dipertimbangkan selain beberapa aspek teknologi lain seperti kemampuan pengesanan radar serta kaedah tembakan digunakan. Semua perkara ini akan dinilai sebelum keputusan pembelian peluru berpandu dibuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN