Pada malam Ahad lalu, negara dikejutkan dengan kes seorang wanita parah selepas ditikam kenalan lelaki di dalam sebuah kenderaan di Kepala Batas, Alor Setar.
Nyawa ibu tunggal berusia 35 tahun tersebut masih panjang walaupun lehernya tembus akibat tikaman menggunakan objek tajam berkemungkinan pisau rambo, alat pemecah ais atau pemutar skru.
Dalam kejadian pukul 9.15 malam di hadapan restoran itu, mangsa bertindak bijak membunyikan hon bagi menarik perhatian orang ramai ketika diserang suspek yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.
Kebetulan terdapat sebuah klinik berhampiran lokasi kejadian, jadi petugas kesihatan dapat memberikan rawatan awal kepada mangsa dengan pantas.
Kejadian berdarah yang menimpa ejen hartanah itu berlaku tiga minggu selepas insiden menyayat hati membabitkan pelajar, Nurfisya Zulkifly, 19, yang ditikam 61 kali dari muka sampai ke kaki di dalam kereta di Ketereh, Kota Bharu sebelum mayatnya ditemukan pada 1 Mei lalu.
Pelaku kes itu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun telah dihadapkan ke mahkamah minggu lalu.
Pada 7 Mei lalu, seorang lelaki yang mempunyai tiga isteri didakwa di mahkamah atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap isteri baharunya dengan menggunakan kerusi plastik, getah paip, penyangkut baju dan besi penyangkut langsir. Mangsa yang hamil turut mengalami keguguran. Ketiga-tiga kes ini sebahagian daripada kes jenayah atau keganasan terhadap wanita sama ada dilakukan oleh suami, kekasih atau kenalan.
Realitinya, jumlah wanita yang menjadi mangsa jauh lebih besar termasuk mereka yang tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa atas alasan tertentu termasuk mahu memberi peluang pasangan berubah.
Hakikatnya mereka yang gagal mengawal emosi ini perlu ‘dirawat’. Baru-baru ini, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan, kes keganasan rumah tangga di negara ini dilaporkan meningkat apabila sebanyak 5,507 kes direkodkan pada 2023, 7,116 kes (2024) dan 7,391 kes (2025).
Secara purata sebanyak 20 kes keganasan rumah tangga berlaku setiap hari pada tahun lalu. Itu tidak termasuk pasangan kekasih atau kenalan. Kebanyakan kes melibatkan mangsa wanita. Bukan tidak ada lelaki yang dicederakan, tetapi jumlahnya kecil.
Kes-kes sebegini menyebabkan kaum lelaki cenderung dilabel ‘red flag’, jadi tidak hairan sekiranya ada wanita memilih hidup solo daripada jatuh ke tangan lelaki salah.
Hakikatnya tidak semua lelaki kejam. Masih ada yang penyayang seperti dalam drama Melayu. Namun kejadian serangan sebegini membuka mata kaum wanita supaya berhati-hati dalam berkawan dan memilih pasangan.
Semak latar belakang lelaki yang mahu dijadikan pasangan sama ada dengan orang terdekat atau pihak berkuasa. Ini kerana dua daripada tiga kes di atas pelakunya mempunyai rekod melakukan perbuatan sama terhadap pasangan sebelum ini. Seperti sudah jadi tabiat.
Biar menangis kecewa sekarang daripada menjadi mayat hidup kelak, lebih malang nyawa pun melayang.














