fbpx
Gambar hiasan

Kerajaan fokus elak krisis bekalan global ‘cekik’ rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan kini memberi tumpuan penuh terhadap kesiapsiagaan negara bagi menghadapi kemungkinan krisis bekalan global susulan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan rakyat terus terjamin.

Menurut beliau, kerajaan juga sedang memperkukuhkan pengurusan subsidi, mengawal ketirisan serta memperhebat penguatkuasaan bagi memastikan bekalan sedia ada dapat dioptimumkan selain mengekang kenaikan harga melampau.

“Kerajaan terus mengurus krisis bekalan global berdasarkan empat keutamaan termasuk menjamin bekalan keperluan utama negara.

“Kita juga mahu memastikan tekanan kos tidak dipindahkan sepenuhnya kepada rakyat,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan turut melihat peluang baharu dalam sektor biodiesel, bahan api lestari dan sumber alternatif sebagai langkah memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara.

Menurut Akmal Nasrullah, libat urus bersama pemain industri, persatuan perniagaan, kementerian, agensi penguat kuasa serta pihak berkepentingan akan terus diperkasakan sebelum sebarang keputusan dasar dimuktamadkan.

Katanya, walaupun prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menunjukkan perkembangan positif, kerajaan tetap berhati-hati berikutan tekanan kos sara hidup rakyat dan cabaran operasi industri yang masih berlaku.

“Angka KDNK yang baik memberikan keyakinan tetapi realiti kos sara hidup rakyat, tekanan operasi industri dan ketidaktentuan global menuntut kerajaan untuk terus bertindak pantas,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah bersidang sebanyak 10 kali bagi memantau perkembangan semasa serta mempercepat tindakan kerajaan.

Katanya, sebanyak 24 kertas pembentangan melibatkan 13 sektor ekonomi telah dibincangkan dengan 96 keputusan direkodkan setakat 12 Mei lalu.

“Daripada jumlah itu, 11 keputusan telah selesai manakala 78 lagi masih dalam pelaksanaan.

“Ini menunjukkan pendekatan kerajaan bukan sekadar reaktif, sebaliknya dilakukan secara berterusan melalui pemantauan mingguan dan penyelarasan antara kementerian,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN