KUALA TERENGGANU – Seorang wanita tidak menyangka rungutan suaminya yang sering mengalami sakit gigi dan ulser mulut sejak awal tahun ini rupa-rupanya petanda barah mulut.
Rahimah Mohamad Alias, 30, berkata, pada mulanya mereka pelik kesakitan dialami suaminya, Mohd. Arif Mahadi, 33, tidak surut biarpun hampir keseluruhan gigi terpaksa dicabut.
Katanya, kesakitan dialami menyebabkan Mohd. Arif sukar untuk menghadam makanan sekali gus mengalami penurunan berat badan mendadak.
“Ia menyebabkan suami saya (Mohd. Arif) dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini Mac lalu sebelum disahkan menghidap barah
mulut.
“Suami saya kemudian menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam, Pulau Pinang sejak tiga minggu lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Rahimah berkata, suaminya yang bekerja sebagai tukang jahit dijangka terus menerima rawatan di dalam wad Pusat Perubatan USM, Bertam tersebut selama dua bulan.
Sementara itu, bapa Mohd. Arif, Mahadi Che Ngah, 63, berkata, kos perubatan anak lelakinya yang mencecah RM100,000 di luar kemampuan keluarganya.
Katanya, ia tidak termasuk perbelanjaan lain termasukan penginapan mencecah RM4,000 bagi membolehkan ahli keluarga terutama menantu perempuannya menemani Mohd. Arif sepanjang tempoh rawatan.
“Jika kerap berulang-alik dari Kuala Terengganu, kos lebih tinggi.
“Buat masa ini, anak saya (Mohd. Arif) sedang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi yang memasuki minggu ketiga.
“Saya selaku bapa dengan rendah diri merayu bantuan orang ramai menampung kos perubatan anak saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Belukar Sukai, di sini.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Mohd. Arif bernombor 13017028994493 (Bank Islam) atau menghubungi Rahimah di talian 011-534 31236.














