KLANG – Biarpun sudah berusia 74 tahun, seorang ibu tunggal di Jalan Kenangan, Kapar di sini cekal menjaga anak lelakinya yang kini terlantar sakit di rumah pusaka serba daif yang tidak mempunyai tandas dan sinki.
Lebih meruntun jiwa, Sukatmai Bakiri tetap menggagahkan diri menjual kuih karipap dan popia di hadapan rumah demi menyara kehidupan mereka dua beranak dengan pendapatan RM30 sehari.
Menurutnya, kehidupannya berubah sejak dua minggu lalu, apabila kesihatan anaknya, Mohamad Jumadi Masir, 53, yang masih bujang merosot sehingga tidak lagi mampu bergerak dan hanya terlantar di katil.
“Anak pada awalnya mengadu sukar bernafas sebelum mendapatkan rawatan di klinik. Ujian bertimpa apabila kakinya turut membengkak sehingga sukar bergerak dan hanya terlantar atas katil,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Datuk Mohd. Roslee Abd. Hamid bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Kesihatan Klang.
Cerita Sukatmai yang mempunyai lapan cucu itu, Jumadi yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu sebelum ini melakukan kerja kampung antaranya mengait kelapa dan memotong rumput.
“Saya cuma berharap Jumadi segera sembuh dan mendapat bantuan bagi meringankan beban,” jelasnya yang juga asnaf.
Sementara itu, Mohd. Roslee berkata, pihaknya akan meneliti bantuan susulan yang boleh disalurkan kepada keluarga berkenaan termasuk membawa Jumadi menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh di hospital.
“Selain bantuan yang bersesuaian oleh JKM, isu keadaan rumah yang daif seperti ketiadaan tandas dan sinki juga diteliti ICU bagi tindakan lanjut,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkam bantuan boleh menghubungi Sukatmai di talian 017-4117041.














