SHAH ALAM – Kertas siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang pemandu warga emas dan penghantar makanan di Jalan 17/21 Petaling Jaya, telah lengkap dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan itu diserahkan pagi ini untuk mendapat arahan selanjutnya daripada TPR.
Katanya, pihaknya baru memperoleh laporan teknikal sebelum siasatan kes tersebut dapat dimuktamadkan.
“Saya dimaklumkan pagi ini kertas siasatan telah siap dan diserahkan kepada TPR untuk semakan serta arahan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an yang dipercayai terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan seorang penunggang motosikal dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Dalam kejadian 1.45 petang, 5 Mei lalu, seorang penunggang motosikal berusia 20-an maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Proton X70 di Jalan 17/21 Petaling Jaya.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan dipandu warga emas terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan awal air kencing dan alkohol terhadap pemandu terbabit didapati negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














