PETALING JAYA – Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan Boao Forum for Asia (BFA) dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, komitmen itu dizahirkan ketika menerima kunjungan Setiausaha Agung Boao Forum for Asia, Zhang Jun bagi bertukar pandangan mengenai landskap serantau dan global.
Menurutnya, dunia kini berdepan ketidaktentuan geopolitik, tekanan ekonomi serta perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas.
“Dalam suasana dunia yang berdepan ketidaktentuan geopolitik, tekanan ekonomi serta perubahan teknologi yang pesat, saya menegaskan bahawa kerjasama serantau yang lebih erat, inklusif dan berteraskan dialog kekal menjadi kunci kepada kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan BFA dalam bidang perdagangan dan pelaburan, transformasi digital, AI, peralihan tenaga, keterjaminan makanan, pendidikan serta pembangunan bakat.
Katanya, kerjasama itu diyakini mampu memperkukuh daya tahan rantau selain membuka lebih banyak peluang yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Semoga ikhtiar ini akan terus memperkukuh daya tahan rantau serta membuka lebih banyak ruang kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat keseluruhannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














