PETALING JAYA – Seorang jurutera menyentuh hati ramai apabila berkongsi kisah dua generasi dalam keluarganya yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) negara.
Menerusi perkongsian di akaun Threads @Emir Emturbo, pemilik akaun membandingkan dua keping gambar yang memaparkan arwah bapanya ketika terlibat dalam projek LRT laluan Kelana Jaya pada tahun 1997 dan dirinya semasa menjalani ujian serta pentauliahan (T&C) bagi projek LRT3 laluan Shah Alam yang mula beroperasi pada 29 Jun lalu.
Menurutnya, arwah bapa pernah menjalani latihan dan percubaan untuk projek LRT2, Putra LRT serta LRT laluan Kelana Jaya di Vancouver, Kanada pada tahun 1997.
“Saya pula menjalani T&C kereta api untuk LRT3 bagi memahami sistem penyelenggaraan.
“Sayangnya arwah abah tidak sempat tengok projek LRT3 siap, walaupun sudah terlibat semasa awal projek sebelum pencen pada tahun 2021.
“Masa abah hidup lagi, beliau kerap bertanya tentang progres LRT3. Macam kena jawab dengan bos bila abah tanya,” katanya.
Menurut pemilik akaun yang merupakan seorang jurutera, bapanya juga sempat menitip pesanan yang sentiasa menjadi pegangan sepanjang dia meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.
“Arwah abah saya pernah pesan, kerja dalam bidang ini ibarat fardu kifayah. Tujuan hanya untuk memudahkan urusan orang lain,” katanya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang tersentuh dengan sumbangan dua beranak itu kepada pembangunan pengangkutan awam negara.
“Berlinang air mata saya. Terima kasih kepada ayah awak dan awak kerana berbakti pada negara,” komen @Hidayah Nasir.
“Comelnya, dua generasi bekerja untuk kemudahan rakyat,” tulis @Yun.
“Ke mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Takziah atas pemergian abah awak,” katanya. -KOSMO! ONLINE














