SHAH ALAM – Pemburuan selama lima hari terhadap seorang penjenayah seksual yang mengurung, mengikat dan meliwat remaja lelaki berusia 14 tahun di Seksyen 32 di sini akhirnya berakhir selepas suspek diberkas Sabtu lalu.
Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada waktu petang di sebuah bilik sewa sekitar Kuala Lumpur hasil risikan dan gerakan memburu dijalankan polis sejak kejadian terbongkar minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati suspek melarikan diri ke ibu negara dengan menaiki pengangkutan awam sebelum menyewa bilik baharu selepas melakukan jenayah tersebut di daerah ini.
Menurut beliau, semakan turut mendapati lelaki terbabit bekerja sebagai pemungut hutang, namun polis masih menyiasat sama ada dia memiliki lesen sah atau sebaliknya.
“Suspek ditahan di bilik sewanya dan kita percaya dia baru sahaja menyewa selepas berpindah dari Shah Alam.
“Hasil semakan juga mendapati suspek baharu dibebaskan daripada penjara pada April tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Shazeli berkata, setakat ini tiada laporan diterima membabitkan mangsa lain dipercayai menjadi sasaran terbaharu suspek tersebut.
“Pemilihan mangsa di Bukit Kemuning, Seksyen 32 sebelum ini dibuat secara rawak.
“Mangsa diumpan kononnya untuk membantu mengangkat beberapa barangan sebelum dibawa ke lokasi kejadian,” katanya.

Beliau menambah, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kini direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut.
“Insya-Allah, sekiranya siasatan masih belum lengkap kita akan mohon untuk sambungan tahanan reman.
“Jadi beri ruang untuk kita lengkapkan siasatan dan insyaAllah saya yakin ia akan dapat hasil yang positif,” katanya.
Ketika ditanya mengapa penjenayah seksual tidak dipasang gelang kaki elektronik (EM) atau peranti pengawasan lokasi, Shazeli memaklumkan perkara itu pernah diajukan sebelum ini.
“Mungkin pernah dibuat beberapa tindakan dan masih lihat keperluan dan kita akan beri cadangan baharu sebelum ini,”katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menempuh detik hitam apabila dia bukan sahaja dikurung selama tiga jam, tetapi diliwat seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Seksyen 32 di sini, Isnin lalu.
Semakan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, ketika kejadian pada pukul 8.05 pagi itu, suspek dilihat mendekati mangsa sebelum berjalan bersama remaja tersebut.
Siasatan awal mendapati suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan satu pakej internet telefon bimbit dengan syarat mangsa perlu membantunya mengangkat barang di dalam rumah.
Polis kemudiannya mengesahkan bahawa suspek merupakan seorang bekas banduan dengan semakan pernah disabitkan hukuman penjara selama 17 tahun atas jenayah rogol, merompak dan mengurung seorang wanita pada 2007. – KOSMO! ONLINE














