PETALING JAYA – Akademi Muezza akan memperkenalkan Program Permata Madani yang akan menggabungkan elemen sukan memanah, akademik dan agama dalam satu ekosistem pembelajaran holistik khusus bagi kanak-kanak.
Program yang dijangka bermulan bulan depan itu dilihat dapat membentuk pembangunan sahsiah, keyakinan diri dan penekanan kepada kemahiran komunikasi kanak-kanak seiring keperluan pendidikan semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Muezza, Abdul Halim Aliumar berkata, akademik itu sebelum ini lebih memfokuskan kepada pembangunan sukan khususnya melalui disiplin memanah dan renang.
Menurut beliau, kini fungsinya diperluaskan dengan memperkenalkan dua teras baharu iaitu akademik dan pendidikan agama.

“Kami akan lancarkan dua teras ini serentak pada Jun depan. Untuk akademik, kami mulakan dengan program 3M iaitu mengira, menulis dan membaca.
“Namun ini bukan konsep tuisyen biasa. Kami mahu fokus kepada pembangunan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi pelajar melalui pendekatan fun learning,” katanya ketika ditemui pada Konvokesyen Akademi Muezza di sini baru-baru ini.
Abdul Halim menjelaskan, program tersebut akan menawarkan kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin dalam suasana pembelajaran interaktif yang menggabungkan pelajar daripada pelbagai peringkat umur dan kemudahan sukan.
Katanya, pendekatan itu diyakini mampu mewujudkan proses perkongsian ilmu secara semula jadi selain membantu meningkatkan tahap keberanian pelajar untuk berinteraksi.
“Malah suasana pembelajaran juga lebih santai dan aktif termasuk elemen permainan, aktiviti memanjat dan pembelajaran secara praktikal.

“Kami turut bekerjasama dengan syarikat yang berpengalaman dalam pembangunan silibus sekolah swasta bagi mempercepat pembinaan modul kemahiran pembelajaran,” katanya.
Selain akademik, Abdul Halim berkata, teras agama akan diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Yayasan Maghfirah melalui projek Sahabat Al-Quran, pembelajaran Al-quran dengan modul yang memfokuskan pendidikan, akhlak dan kepimpinan.
Sementara itu, Akademi Muezza telah meraikan seramai 197 pelajar sempena konvokesyen pertama sejak penubuhannya tiga tahun lalu.
Menurut beliau, pelajar yang diraikan terdiri daripada peserta dalam kategori memanah beginner, intermediate dan advanced yang dipilih berdasarkan pencapaian sepanjang tahun lalu.
Katanya, Akademi Muezza ketika ini mempunyai tiga teras utama sukan iaitu memanah, renang dan bola sepak dengan jumlah keseluruhan pelajar melebihi 3,700 orang di seluruh negara.
“Setakat ini kami mempunyai kira-kira 37 studio dalaman dan lebih 40 lokasi luar termasuk sekolah serta padang bagi aktiviti latihan memanah dan sukan lain,” katanya.
Mengulas perancangan masa depan, Abdul Halim berkata, Akademi Muezza juga sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan bagi membangunkan atlet elit mereka yang berpotensi mewakili negara ke pentas antarabangsa termasuk Olimpik.
“Kami sudah menghantar pasukan ke Indonesia dan berjaya muncul juara. Kini kami mahu mencari kesinambungan bersama kerajaan untuk membawa atlet elit Muezza ke peringkat lebih tinggi,” katanya. -KOSMO! ONLINE














