PETALING JAYA – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan menerusi pelaksanaan inisiatif MySISWA Job on Campus (JoC) yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan berstruktur kepada mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.
Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada sehingga 500 pelajar menerusi pelbagai peluang pekerjaan di dalam kampus melibatkan bidang perkhidmatan, penyelenggaraan, pengurusan Dapur Siswa, pemasaran, pengurusan acara universiti serta sektor kreatif.
Program berkenaan turut menyaksikan penyerahan rasmi surat tawaran kerja kepada pelajar yang layak disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP sempena Perlis International Engineering Invention & Innovation Exhibition (Pi-ENVEX) 2026 di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, MySISWA JoC bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada mahasiswa, malah menjadi platform pembangunan bakat dan pembentukan nilai profesional dalam kalangan pelajar.
“UniMAP melihat MySISWA Job on Campus sebagai satu medium penting dalam melahirkan graduan yang lebih kompetitif, berdayatahan dan bersedia menghadapi alam pekerjaan sebenar.
“Melalui pengalaman kerja yang diperoleh di kampus, mahasiswa dapat memperkukuh kemahiran insaniah, meningkatkan disiplin kerja serta membina keyakinan diri sebelum melangkah ke industri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, program tersebut turut membuka peluang kepada mahasiswa menerusi pelbagai kluster termasuk pentadbiran dan operasi, perkhidmatan, teknikal, project-based/profesional serta keusahawanan.
Antara inisiatif diperkenalkan ialah MySISWA JoC@BrewLab dan MySISWA JoC@KioskHub yang memberi pendedahan kepada pengurusan operasi perniagaan kampus serta pembangunan keusahawanan mahasiswa.
Selain itu, UniMAP turut memperkenalkan MySISWA JoC@FoodBank, MySISWA JoC@UniParcel, MySISWA JoC@SupportCrew dan MySISWA JoC@DigitalCreative bagi memperluaskan pengalaman mahasiswa dalam bidang logistik, pengurusan acara serta pembangunan kandungan kreatif digital.
Dalam usaha memperluaskan lagi skop program berkenaan, UniMAP juga akan merealisasikan hasrat Raja Muda Perlis untuk mewujudkan MySISWA JoC@SportHealth yang dijangka memberi peluang kepada mahasiswa terlibat secara aktif dalam pengurusan kesihatan, kecergasan dan aktiviti sukan kampus secara lebih profesional dan sistematik.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE) UniMAP, Dr. Nor Faizah Bawadi berkata, program tersebut membantu mahasiswa menjana pendapatan sampingan selain membina kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan etika profesional.
Katanya, pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan mahasiswa membuktikan komitmen berterusan institusi pendidikan tinggi dalam menyediakan persekitaran kampus lebih inklusif dan kondusif kepada pelajar. – KOSMO! ONLINE














