SHAH ALAM – Kerajaan dicadang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kedaulatan Raja bagi mencegah dan menghukum mana-mana pihak yang mencemarkan martabat institusi Diraja.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, undang-undang khas itu perlu segera dikuatkuasakan bagi memelihara institusi teras negara daripada terus diganggu gugat.
“RUU itu berfungsi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dimansuhkan sebelum ini sebagai mekanisme perundangan khas memperuntukkan pihak yang menghina boleh ditahan tanpa waran mahkamah bagi siasatan.
“Ia turut memperuntukkan mereka yang didapati bersalah dikenakan tahanan selama setahun dan boleh diperbaharui. Lembaga Kedaulatan Raja juga boleh diwujudkan bagi meneliti dan membuat syor berdasarkan kesalahan yang dilakukan,” katanya ketika berucap pada Himpunan Daulat Tuanku di luar pekarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, petang tadi.
Terdahulu, lebih 5,000 peserta meliputi parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berarak lebih 500 meter dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, bermula kira-kira pukul 5 petang.
Tambah Ibrahim, kerajaan turut perlu mewujudkan panel penilai khas bagi memastikan penguatkuasaan peruntukan baharu itu dapat dilaksanakan secara teliti dan sistematik.
Sebelum ini, sebanyak 280 laporan diterima Polis Selangor berhubung penularan satu karikatur di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin. – KOSMO! ONLINE














