PETALING JAYA – Perdana Menteri memaklumkan kerajaan bercadang untuk mengurangkan kadar sewa premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara inisiatif yang dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.
Jelas beliau, langkah itu perlu bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos operasi.
“Kerajaan Madani telah memulakan pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga menerusi DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan Mara (Majlis Amanah Rakyat).
“Pendekatan ihsan ini wajar dicontohi oleh PBT lain di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar,”katanya pada satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mesyuarat turut meneliti pelbagai langkah strategik bagi mendepani ketidaktentuan global dan kesan kenaikan kos sara hidup.
Katanya, ia termasuk pembangunan Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global serta cadangan penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga.
“Mengambil kira impak krisis yang semakin memberi tekanan kepada harga barangan harian, saya telah mengarahkan setiap kementerian untuk menyelaras semula inisiatif, usaha dan bantuan supaya sampai kepada kumpulan sasaran serta memastikan tiada yang tercicir, khususnya golongan miskin dan rentan.
“MTEN akan terus memberi fokus utama kepada usaha menjamin kelangsungan bekalan serta melindungi rakyat, khususnya golongan rentan dan peniaga kecil agar mereka tidak terus terbeban akibat kejutan ekonomi global,”katanya.-KOSMO! ONLINE














