SEPANG – Tangisan seorang ibu yang selama ini melihat anak kecil bertarung nyawa akibat kegagalan fungsi hati akhirnya bertukar menjadi senyuman berkat pengorbanan mereka untuk berkongsi hati bersama insan tersayang.
Mereka merupakan antara puluhan ibu bapa di negara ini yang sanggup mendermakan sebahagian organ hati sendiri demi menyelamatkan nyawa anak masing-masing yang disahkan menghidap Biliary Atresia (BA).
Penyakit BA merupakan sejenis penyakit hati kronik yang menyerang bayi sejak kecil menyebabkan pesakit berdepan masalah badan dan mata menjadi kekuningan selain perut membuncit, berat badan susut serta mudah mengalami lebam dan pendarahan.
Bagaimanapun, penderitaan dialami kanak-kanak terbabit berakhir dengan pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji di Shanghai, China menerusi bantuan Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia.
Sehingga kini, lebih 47 kanak-kanak dan bayi berjaya meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas menjalani pembedahan pemindahan hati di hospital berkenaan.
Bagi seorang ibu, Stephanie Munira Sulan Muking, 37, anaknya berusia setahun lima bulan, Maxy Perez Davis Mancha kini hidup dengan sebahagian hatinya selepas melakukan pembedahan di China pada April lalu.
Katanya, pembedahan dengan kos sekitar RM200,000 itu berjaya dilaksanakan hasil sumbangan orang ramai kepada Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia.
“Pada tahun lalu, doktor mengesahkan anak saya yang berusia lapan bulan ketika itu mengalami kegagalan fungsi hati dan menyarankan pembedahan dilaksana segera.
“Sebagai seorang ibu, saya tidak sanggup melihat dia menderita dan sanggup berkorban berkongsi sebahagian organ hati untuknya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terdahulu, Stephanie Munira tiba dari Shanghai, China bersama anaknya Maxy Perez Davis Mancha selepas hampir sebulan dua minggu berada di Hospital Renji untuk pembedahan pemindahan hati.
Mengulas lanjut, Stephanie Munira berkata, anaknya dibedah selama dua kali selain perlu dirawat selama tiga minggu di unit rawatan rapi (ICU) selepas menerima sekitar 20 peratus hatinya.
“Selepas pembedahan pemindahan hati, anak saya mengalami jangkitan di perut dan perlu dibedah untuk kali kedua.
“Bagaimanapun, selepas sebulan menerima rawatan, semuanya kembali pulih.
“Saya pula hanya dirawat selama lima hari selepas mendermakan sebahagian hati, kemudian dapat kembali melakukan rutin harian seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Chempaka Naura Muhammad Faiqusyahmi berusia setahun yang kisahnya tular sebelum ini kerana mengalami masalah BA juga kembali hidup sihat selepas berkongsi hati bersama ibunya.
Menurut Syarifah Puteri Natasya Syed Mohamad Yusnin, 23, puterinya kini mula tersenyum gembira selain fizikal badan semakin sihat berbanding beberapa bulan sebelum ini.
“Jujurnya, selepas kejayaan pembedahan itu, saya rasa makin bersemangat kerana kami berdua berkongsi hati sama, sebahagian jiwa saya ada padanya.
“Jika sebelum ini, keadaannya agak kritikal, namun selepas pembedahan itu, dia semakin pulih, malah mampu duduk sendiri seperti kanak-kanak lain seusianya,” katanya.
Susulan itu, Syarifah Puteri Natasya turut menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak menghidap penyakit BA untuk segera mendapatkan rawatan selain berhubung dengan Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia untuk bantuan lanjut. -KOSMO! ONLINE














