JERANTUT – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling, hari ini bagi memulakan keberangkatan rasmi selama tiga hari ke kawasan pedalaman berkenaan.
Keberangkatan baginda yang bermula semalam mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang Seri Paduka terhadap rakyat khususnya masyarakat di kawasan pedalaman negeri ini.
Sepanjang berada di Kampung Bantal, baginda turut berkenan menyantuni rakyat yang hadir serta mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak di sekitar kampung tersebut.
Antara pengisian program sepanjang keberangkatan tersebut termasuk solat Jumaat bersama penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Kuching, majlis gotong-royong, program saringan kesihatan Institut Jantung Negara (IJN) serta program ziarah kasih di Kampung Gusai di sini.
Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah bersama Tengku Hassanal turut berkenan bercemar duli berangkat ke program sukan rakyat di Kampung Bantal yang berlangsung dalam suasana penuh meriah menghimpunkan penduduk setempat serta pelbagai agensi.
Baginda berkenan menyaksikan pelbagai acara tradisional dan santai antaranya pertandingan tarik tali, acara belon kasih sayang serta aktiviti mengutip gula-gula yang disediakan khas untuk kanak-kanak.
Lebih menggamatkan apabila baginda bersama Tengku Mahkota Pahang turut berkenan menyertai acara baling belon kasih sayang sekali gus menambahkan kemeriahan suasana dan mencuit hati rakyat yang hadir.
Acara tarik tali turut mencuri tumpuan apabila pasukan Majlis Kesultanan Pahang berjaya muncul naib juara selepas tewas tipis kepada pasukan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut. – KOSMO! ONLINE














