KULAI – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor menggariskan tiga agenda utama untuk masyarakat di kawasan berkenaan sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai ini.
Menurut beliau, ia melibatkan pembangunan infrastruktur, pemilikan rumah mampu milik dan pengukuhan ekonomi setempat kerana dilihat dekat dengan keperluan semasa rakyat khususnya berkaitan keselesaan hidup, peluang pekerjaan serta masa depan golongan muda dan keluarga.
Katanya, aspek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat ditingkatkan.
“Saya mahu memastikan kemudahan yang memberi manfaat kepada rakyat terus ditambah baik supaya kehidupan penduduk menjadi lebih selesa.
“Selain itu, saya juga mahu memperluaskan peluang pemilikan rumah mampu milik khususnya kepada golongan muda dan keluarga yang baru memulakan kehidupan,” katanya ketika berkongsi perancangan dan hala tuju untuk DUN Bukit Permai di sini semalam.
Kata beliau, aspek pembangunan ekonomi tempatan juga tidak boleh dipinggirkan kerana ia mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan ruang perniagaan kepada penduduk setempat.
Katanya, pembangunan ekonomi yang berkembang secara sihat akan memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan rakyat, selain membantu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.
Mohd. Jafni berkata, keyakinannya untuk mempertahankan kerusi berkenaan bukan bersandarkan janji politik semata-mata, tetapi kepada rekod perkhidmatan serta hubungan yang dibina bersama rakyat selama ini.
Beliau berkata, kekuatan utamanya ialah kesungguhan untuk terus turun padang, mendengar permasalahan rakyat dan memastikan suara mereka sentiasa diberikan perhatian.
“Jika ada kekuatan saya, mungkin hanyalah kesungguhan untuk terus bekerja dan sentiasa berada bersama rakyat,” katanya.














