fbpx
Abdul Muie (kiri) dan Mujibburrahman (kanan) menyaksikan penukaran dokumen antara Wan Munadi (dua dari kiri) dan Ketua Jabatan Digital dan Kad, Albert Loo (dua dari kanan) pada majlis pemeteraian MoU di Wisma BSN, semalam.

BSN TeachersCard hargai sumbangan warga pendidik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Inisiatif BSN TeachersCard hasil kerjasama strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) terus diperkukuh bagi menjaga kebajikan warga pendidik menerusi pelbagai manfaat kewangan dan ganjaran eksklusif.

Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah berkata, BSN TeachersCard diperkenalkan khusus untuk guru dan warga pendidikan sejak 2013 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam membentuk modal insan negara sejak dahulu hingga kini.

Katanya, kad tersebut dilancarkan sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan 2013 dan ditawarkan secara eksklusif kepada warga pendidikan. 

“Kerjasama antara BSN dan YGMB turut bertujuan memperkasakan aspek kebajikan guru melalui pelbagai insentif kewangan, di samping membantu mengukuhkan dana kebajikan warga pendidik,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman antara YGMB dan BSN di Wisma BSN di sini

Antara kelebihan BSN TeachersCard ialah ganjaran BSN Happy Rewards, kemudahan pelan ansuran serta perlindungan kemalangan perjalanan kepada pemegang kad yang layak.

Selain itu, setiap transaksi runcit yang dilakukan menggunakan kad berkenaan turut menyumbang kepada YGMB, sekali gus membantu yayasan itu melaksanakan pelbagai program kebajikan dan bantuan kepada guru di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, ramai warga pendidik telah menerima pelbagai kelebihan ketika menggunakan BSN TeachersCard dalam urusan harian.

“Pembaharuan dilakukan supaya warga pendidik terus menikmati manfaat selain menerapkan konsep kebajikan.

“Ia merupakan salah satu caranya kerana BSN TeachersCard menawarkan keistimewaan yang berbeza berbanding kad kredit lain dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

Menurut Wan Munadi, BSN TeachersCard ditawarkan secara eksklusif kepada guru dengan kadar tahunan serendah 8.88 peratus setahun berbanding kad kredit lain yang mengenakan kadar keuntungan sehingga 18 peratus.

Tambahnya, kad itu bukannya mahu menggalakkan guru berhutang tetapi salah satu aspek pendidikan pengurusan kewangan yang baik.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen BSN dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang inklusif.

Katanya, golongan yang layak memohon BSN TeachersCard termasuk guru dan kakitangan Kementerian Pendidikan, pensyarah institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diluluskan serta guru Maktab Rendah Sains Mara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN