SEREMBAN – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM5,416,100 sebagai bantuan khas bagi pembiayaan projek penyelenggaraan dan naik taraf institusi pendidikan Islam di Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddun Suhaimee menerusi kenyataan berkata peruntukan Khas Bantuan Selenggara dan Naik Taraf Institusi Pendidikan Islam itu disediakan bagi membantu meningkatkan prasarana institusi agama termasuk institusi pondok dan Maahad Tahfiz yang memerlukan penambahbaikan serta penyelenggaraan.
“Menerusi tambahan peruntukan itu, Negeri Sembilan menerima keseluruhan RM47,743,200 bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dan inisiatif berkaitan hal ehwal Islam.
” Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM42,327,100 diperuntukkan bagi bayaran imbuhan dan elaun imam, bilal, siak, guru takmir serta Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA),” katanya.
Menurutnya lagi, peruntukan itu turut melibatkan pemberian sumbangan khas secara sekali bayar sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan murabbi ummah dalam memperkukuh pendidikan serta kefahaman Islam di peringkat akar umbi.
Pada tahun ini, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 57 institusi agama di Negeri Sembilan melibatkan dua institusi pondok, 18 Maahad Tahfiz, 11 sekolah agama dan 26 premis KAFA yang beroperasi di premis bukan milik kerajaan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim di Masjid Sri Sendayan di Bandar Sri Sendayan di sini.
Replika cek turut diserahkan kepada wakil institusi pondok, institusi tahfiz, sekolah agama dan premis KAFA di negeri itu. – KOSMO! ONLINE














